KUALA TERENGGANU, 1 Mei – Kewujudan Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) sebagai ejen bagi memasar hasil pertanian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi penyelesaian ‘serampang dua mata’ kerajaan negeri dalam membantu rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, TADC ditugaskan membuka 40 pusat pemasaran dan ia turut berhasil menyelesaikan beberapa isu rakyat.

“Bila kita cuba buka ruang pemasaran, dengan ‘outlet’ yang ada, kita dapat elakkan rakyat terlalu bertumpu ke pasaraya sahaja untuk mendapatkan keperluan.

“Kita realistik dengan bilangan pasaraya yang ada di Terengganu dan dengan kewujudan ‘outlet-outlet’ di kawasan berdekatan, TADC membantu masyarakat lebih mudah memperoleh bekalan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi wawancara ‘COVID-19 : Sektor Pertanian Turut Terjejas?’ bersama TV Darul Iman semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu menjelaskan, apa yang paling penting pelaksanaan tersebut membolehkan harga pasaran terkawal tanpa berlaku monopoli oleh pasaraya dan pihak-pihak lain.

“Ini serampang dua mata, kita kawal harga dan petani dapat pasar hasil. Memang tidak untung besar, tetapi petani tidak mengalami kerugian dan cara ini turut mendapat perhatian daripada negeri-negeri lain.

“Alhamdulillah, kita di Terengganu agak terkehadapan dalam menyelesaikan isu rakyat di peringkat bawah. Setakat ini, kita tidak ada isu tiada sumber,” katanya.

Menjawab tentang isu sektor di bawah portfolionya, Dr. Azman mengakui terdapat beberapa sektor yang masih terjejas dalam memasarkan produk mereka.

“Antara sektor yang terjejas adalah akuakultur seperti projek-projek sangkar ikan kerana kita merupakan antara pengeluar utama ikan bernilai tinggi iaitu siakap dan kerapu hibrid yang digunakan ekslusif di hotel dan restoran. Penternak perlu terus mengeluarkan belanja makanan ikan, tetapi tidak dapat menjual.

“Jadi, kita membantu dalam bentuk pemberian makanan ikan. Kita menyelesaikan sebahagian dan dalam masa sama berikhtiar melihat ruang pasaran yang ada untuk disalurkan, kita juga cuba permudahkan dari segi pergerakan,” jelasnya.

Beliau juga menegaskan petani, penternak dan nelayan perlu terus bergerak dan pihak berkuasa perlu permudahkan pergerakan mereka selaras saranan supaya rantaian makanan tidak putus dari awal sehingga akhir.

“Kita berkerja untuk memastikan bekalan berterusan dan harga stabil. Piawaian yang kita letak masih lagi terkawal dan tercapai.

“Kita akan terus memantau bersama jabatan-jabatan berkaitan dengan sedaya mampu kita cuba tanganinya secepat mungkin,” katanya.

Oleh : Mohd Irsyadi Abu Bakar | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: