SETIU, 4 November – Setiap keperluan rakyat mempunyai peruntukan kewangan tersendiri sebagaimana yang disalurkan oleh kerajaan negeri dan Pusat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, semua peruntukan yang diagih itu sudah dipersetujui untuk dilaksanakan dalam bidang-bidang tertentu mengikut keutamaan.

“Contohnya, peruntukan untuk jalan maka perbelanjaan dan pelaksanaannya mestilah untuk tujuan pembaikian atau pembinaan jalan, peruntukan untuk rumah, kita guna untuk rumah.

“Rekod untuk tahun 2019, sebanyak 120 buah rumah telah dibaik pulih dan tujuh buah rumah baharu telah dibina di DUN Jabi.

“Nampak angka macam agak besar. Tapi sebenarnya masih banyak lagi rumah yang perlu disantuni dan diperbaiki. Janganlah mengungkit sebab apa buat jalan sedangkan ada lagi rumah yang perlu bantuan,” ujarnya yang memuatnaik status di ‘Facebook’ rasminya, hari ini.

Katanya, selain dana yang diperolehi daripada kerajaan, pihaknya juga mencari sumber kewangan lain bagi melancarkan urusan masyarakat.

“Oleh kerana keperluan baiki rumah di Jabi agak mendesak, kita telah berusaha dapatkan dana kewangan dari pelbagai sumber untuk tujuan ini.

“Alhamdulillah, ada rezeki untuk rakyat kita walaupun tidak selesai semua sekali dalam masa setahun ini, tahun depan kita sambung lagi. Insya-Allah,” tambah beliau.

Oleh : Hidayah Azlin | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: