Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat memaklumkan sejumlah 103 daripada 140 pusat tahfiz dan sekolah pondok  di negeri  direkodkan berdaftar  dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Katanya, selebihnya iaitu 37 pusat pendidikan itu belum berdaftar, bagaimanapun dalam usaha untuk beroperasi secara sah selepas memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan.

“Antaranya perlu diwartakan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta premis yang ingin digunakan untuk pengajian perlu terlebih dahulu mendapat sijil layak menduduki (CF) daripada pihak berkuasa tempatan.

“Pada masa sama, mendapat kelulusan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu  dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu selain bersedia mengikut format pembelajaran dan pengajiaan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Roslee Daud (Bukit Besi-BN) pada persidangan Dewan Undangan Negeri, hari .

Satiful Bahri turut memberitahu, kerajaan negeri ada  memperuntukkan sejumlah  RM3.78 juta kepada Pondok Tahfiz dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang berdaftar.

Katanya, peruntukan tersebut termasuk pembiayaan program latihan kemahiran kepada pelajar-pelajar pondok seperti pertukangan dan pembinaan yang dilaksanakan sejak awal tahun ini.

“Terengganu menjadi negeri perintis memberi fokus kepada pelajar pondok menerusi program inisiatif tersebut agar dapat diperkasakan dengan lebih tersusun dan bersistematik.

“Buat permulaan 30 pelajar Pondok Ibtida’i Ajil mengikuti kursus pertukangan dan perkayuan di Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu yang beroperasi di Kampung Teris, Hulu Terengganu,” katanya.

Oleh : Suriati Ali | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: