KUALA TERENGGANU, 28 November – Kerajaan negeri mengambil langkah untuk mengemaskini Enakmen Rumah Tumpangan Negeri Terengganu sedia ada sebelum mengenakan cukai kepada rumah tumpangan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, enakmen itu perlu dikaji dan dimurnikan semula sebelum sebarang penguatkuasaan dilaksanakan.

Katanya, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Penasihat Undang-Undangan negeri Dato’ Azhar Abdul Hamid bagi tujuan tersebut.

Selain itu katanya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) juga dalam proses untuk mengenal pasti langkah terbaik dalam mengatasi masalah ini.

“Masalah ini bukan sahaja berlaku di Terengganu bahkan berlaku di seluruh Malaysia.

“Sebenarnya homestay dan rumah tumpangan ini berbeza, jadi kerajaan negeri mengambil langkah untuk mengemaskini Enakmen Rumah Tumpangan Negeri Terengganu yang sedia ada sebelum ini.

“Enakmen ini sebenarnya perlu dikaji semula dan dimurnikan semula sebelum sebarang penguatkuasaan dibuat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ustaz Ridzuan Hashim di Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Ridzuan dalam soalannya ingin tahu tindakan kerajaan terhadap homestay yang tidak berlesen di Terengganu.

ADUN Alur Limbat itu berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau perkembangan industri pelancongan negeri Terengganu menerusi penubuhan Jabatan Pelancongan Negeri (Tourism Terengganu).

Jabatan Pelancongan negeri katanya, bekerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengenal pasti aktiviti perniagaan rumah tumpangan di negeri Terengganu.

“Konsep homestay yang digariskan dan diwartakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) amat berbeza dengan aktiviti rumah tumpangan ini,” jelas beliau.

Katanya, program homestay merupakan satu bentuk pengalaman di mana pelancong tinggal bersama keluarga tuan rumah pengusaha homestay yang berdaftar dengan Motac sebagai syarat pendaftaran dengan kementerian tersebut.

“Dengan cara itu pelancong berpeluang untuk berinteraksi serta mengalami gaya hidup seharian bersama masyarakat kampung,” ujarnya.

Oleh : Suhaimi Taib | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: