KUALA TERENGGANU, 27 November– Kerajaan negeri terus menjalankan pemantauan terhadap pusat hiburan di negeri ini dalam usaha memastikan premis terbabit tidak melanggar syarat operasi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, kesalahan yang dilakukan oleh pusat hiburan untuk tempoh dua tahun kebelakangan ini didapati menurun disebabkan hasil daripada pemantauan berkala yang dijalankan.

Alias berkata, pihaknya juga mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pusat hiburan dan tempat pelancongan yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan.

“Setakat ini hanya 32 kes telah diambil tindakan oleh kerajaan negeri berbanding 44 kes pada 2018 bagi seluruh negeri ini.

“Memang mana-mana pusat hiburan, pelancongan yang melanggar peraturan akan diambil tindakan penguatkuasaan terhadap premis berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Wan Hapandi Wan Nik (PAS- Sura) mengenai bilangan kes dan tindakan penguatkuasaan terhadap pusat hiburan, tempat pelancongan yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas (Bajet 2020) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah ditugaskan untuk menjalankan penguatkuasan dan daripada 32 kes terbabit, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu mencatatkan 4 kes, Majlis Perbandaran Kemaman (8 kes), Majlis Daerah Besut (5 kes) dan satu kes di Majlis Daerah Setiu sementara yang direkodkan PDRM (14 kes).

Menurut beliau, antara paling banyak kesalahan yang dilakukan ialah beroperasi lebih masa dengan 13 kes telah diambil tindakan penguatkuasaan.

Oleh : Noraini Jusoh | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: