KUALA TERENGGANU, 1 Januari – Kewujudan sistem perisian bagi menggantikan penggunaan direktori dalam buku harian rasmi Kerajaan Terengganu dapat menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM362,442.

Menurut rekod, kos tempahan buku harian rasmi itu dari 2013 sehingga 2019 mencatatkan peningkatan perbelanjaan sebanyak 31 peratus iaitu daripada RM398,445 pada 2013 sehingga RM525,442.00 pada tahun 2018 melibatkan tempahan 14,000 unit buku pada setiap tahun.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pada tahun ini, tempahan dikurangkan kepada 5,000 unit sahaja yang melibatkan kos RM163,000.

Katanya, penggunaan sistem yang dibangunkan Unit Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri itu mampu menjimatkan perbelanjaan kerajaan negeri sebanyak RM362,442.

“Proses pembangunan sistem yang menyediakan capaian kepada maklumat secara efisien dan tersusun ini tidak melibatkan sebarang peruntukan.

“Sebaliknya  mampu menjimatkan perbelanjaan seiring prinsip perbelanjaan berhemat yang disarankan oleh pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Sistem I-Direktori Terengganu, di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Katanya, sistem i-Direktori itu boleh diakses menggunakan pautan ttel.terengganu.gov.my. Capaian kepada sistem ini juga turut terdapat dalam Portal Rasmi Kerajaan Negeri Terengganu.

“Setakat hari ini, hampir 10,000 maklumat sudah dikemas kini dan dijangka meningkat sehingga 13,000 maklumat yang merangkumi semua jumlah kakitangan Kerajaan Negeri Terengganu,” katanya.

Maklumat yang boleh diperolehi daripada sistem termasuklah nombor telefon, nombor faks, emel jabatan dan emel peribadi kakitangan. Antara pilihan menu dalam sistem tersebut ialah Yang Berhormat, SUK Terengganu, Ketua Jabatan, Jabatan / Agensi Negeri, Jabatan / Agensi Persekutuan, Pejabat Daerah / Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan, Badan Berkanun Negeri, Badan Berkanun Persekutuan, Anak Syarikat Kerajaan Negeri Terengganu, Universiti / Institut Pendidikan Negeri Terengganu, Hotel dan Syarikat Utama dan Media.

Oleh : Suriati Ali | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: