Category :

KUALA NERUS, 7 September – Temasya Sukan Terengganu (SUTERA) 2019 yang secara rasminya bermula semalam adalah medan membangunkan atlet pelapis di setiap peringkat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, jika sebelum ini pembangunan sukan lebih tertumpu di satu daerah, namun menerusi SUTERA 2019 ia akan lebih menyeluruh apabila semua daerah terlibat dalam mencari bakat-bakat muda bagi setiap acara.

Jelasnya, penganjuran tersebut menjadi pentas buat atlet untuk mempamerkan potensi masing-masing supaya dapat diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Penganjuran SUTERA 2019 adalah kali pertama selepas temasya sukan seumpama ini dihentikan pada 2007. Selepas 12 tahun, kita mengembalikan sukan supaya dapat mencungkil bakat baharu dalam kalangan atlet di Terengganu sebagai pelapis untuk akan datang.

“Malah ia juga peluang kepada atlet sedia adakan untuk meneruskan kerjaya dalam bidang sukan selain kerajaan negeri juga mahu mengaktifkan majlis sukan di peringkat daerah supaya dapat memberi peluang kepada akar umbi untuk berkecimpung dalam sukan,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian SUTERA 2019 di Stadium Mini Olahraga, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu.

Tambah beliau, bagi menyemarakkan lagi industri tersebut, kerajaan negeri bersedia untuk memajukan sukan secara saintifik serta memperkasakan penggunaan Sains Sukan di Terengganu.

Katanya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk menubuhkan Bahagian Teknologi Sukan di Majlis Sukan Negeri Terengganu untuk tujuan mengaplikasikan teknologi dan sains dalam latihan atlet.

“Atlet muda wajar didedahkan sejak daripada awal dengan Sains Sukan supaya negara dapat melahirkan atlet berprestasi tinggi.

“Melalui bahagian ini nanti, kita akan melabur dalam aspek kepakaran Sains Sukan dan peralatan agar atlet mendapat bantuan alatan dan teknologi sukan terkini,” katanya.

Oleh : Husaif Mamat | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: