KUALA TERENGGANU, 14 Disember – Kerajaan negeri sudah mengenalpasti beberapa tapak cadangan bagi pembinaan Kolej Universiti al-Quran Terengganu (KUQT) yang baharu.

Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar walau bagaimanapun berkata, kawasan tersebut masih belum dapat diumumkan memandangkan pihaknya sedang membuat penelitian daripada beberapa aspek.

Jelasnya, projek tersebut selaras dengan janji manifesto kerajaan negeri yang ingin mewujudkan institut pengajian tinggi Islam bagi menggantikan Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dan usaha itu adalah sebagai permulaan.

“Tempat yang ada sekarang begitu padat, jadi melalui bajet Terengganu 2020 lalu kita peruntukan RM5 juta, supaya prasarana dan keperluan institusi ini ditambah baik bagi mewujudkan kampus lebih baik.

“Apatah lagi kita ada pertanyaan serius dari negara luar seperti Brunei dan Singapura yang berminat menghantar pelajar mereka ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian Majlis Perisytiharan Presiden dan Imaratul Ilmi Konvokesyen Ke-1 Kolej Al Quran Terengganu di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Samsuri yang juga Presiden KUQT dalam ucapannya menegaskan, KUQT perlu mengambil langkah lebih agresif dalam membangunkan kurikulum baharu untuk memenuhi keperluan industri dan kerajaan negeri sekurang-kurangnya dalam tempoh 10 tahun akan datang khususnya dalam bidang islamik.

Langkah itu ujarnya akan melonjakkan KUQT sebagai pusat kecemerlangan akademik yang unggul di rantau ini.

“Selain itu, ia juga akan berupaya memberi faedah dan manfaat kepada institusi-institusi yang lain di seluruh Malaysia seterusnya membina nama dan kedudukan yang lebih baik di peringkat antarabangsa,” katanya di hadapan 591 graduan.

Untuk rekod, KUQT merupakan institusi pengajian tinggi milik penuh kerajaan negeri di bawah kelolaan Syarikat Wawasan Wibawa Sdn. Bhd.

Oleh : Husaif Mamat | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: