Category :

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos  — Anak syarikat kerajaan negeri TDM Berhad mengumumkan proses pengambilalihan THP-YT Plantation Sdn Bhd daripada TH Plantation Berhad (THP) telah selesai pada 31 Julai lepas.

Pengerusinya Raja Datuk Idris Raja Kamarudin dalam kenyataan hari ini berkata, ini menjadikan THP-YT sebagai satu daripada anak syarikat di bawah TDM Berhad secara rasmi pada 1 Ogos dan TDM Berhad turut mengambil alih pengurusan dan tadbir urus operasi ladang Bukit Bidong seluas 2,594.50 hektar.

“Di bawah Pelan Pembangunan Perniagaan kami (BDP), TDM Berhad sentiasa mencari aset yang telah dibangunkan dan mempunyai potensi untuk mencapai pendapatan akretif dalam kedua-dua sektor perladangan dan kesihatan.

“Pengambilalihan ini adalah sebahagian daripada strategi keseluruhan kumpulan untuk meningkatkan profil umur purata dan mengurangkan turun naik hasil pendapatan.

“TDM meletakkan kedudukan secara strategik untuk terus berdaya saing dalam keadaan pasaran yang sangat mencabar,” katanya.

Menurutnya TDM Berhad memperoleh 70 peratus kepentingan ekuiti dalam THP-YT Plantation Sdn Bhd daripada THP dengan baki 30 peratus kepentingan ekuiti dimiliki oleh Yayasan Terengganu.

THP-YT adalah pemilik berdaftar tiga bidang tanah ladang di Mukim Caluk dan Marang dengan keluasan tanah 2,594.50 hektar, dikenali sebagai Ladang Bukit Bidong.

Daripada jumlah tersebut, 2,307 hektar telah ditanam dengan kelapa sawit.

Beliau berkata pengambilalihan itu akan meningkatkan jumlah kawasan tanaman TDM di Terengganu daripada 31,346 hektar kepada 33,653 hektar.

“Selain itu, profil usia antara dua hingga sembilan tahun akan meningkatkan profil umur purata tanaman keseluruhan TDM secara positif. Ini juga sebahagian daripada rancangan untuk perluasan perladangan dan meningkatkan keluasan tanaman di Terengganu.

“Ladang THP-YT terletak berhampiran kilang minyak sawit TDM Sungai Tong. Oleh itu, pengambilalihan ini dijangka berupaya mengoptimumkan kapasiti dan kecekapan pemprosesan BTS (buah tandan segar), dan selanjutnya menurunkan kos pemprosesan di kilang minyak sawit TDM.

“TDM yakin nilai strategik yang bakal diperoleh daripada pemerolehan ini akan diterjemahkan kepada kecekapan operasi untuk meningkatkan keuntungan dalam jangka panjang,” katanya.

Untuk rekod, anak syarikat milik penuh TDM Berhad iaitu TDM Plantation Sdn Bhd telah ditauliahkan oleh Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) pada 2013 sebagai syarikat perladangan pertama di Terengganu yang melangkaui amalan piawaian dan diberikan 100 peratus pensijilan RSPO.

TDM Berhad ditubuhkan pada 1965 dan tersenarai di papan utama Bursa Malaysia dengan perniagaan teras dalam perladangan kelapa sawit dan penjagaan kesihatan.

Melalui bahagian perladangannya, TDM menguruskan 16 ladang kelapa sawit dan tiga kilang di Terengganu dan Indonesia serta telah memperoleh sijil RSPO dan MSPO.

Bagi cabang penjagaan kesihatannya di bawah Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMDI), syarikat itu mempunyai empat hospital pakar yang menawarkan penjagaan sekunder dalam semua bidang utama kesihatan.

Hospital itu terdiri daripada Kelana Jaya Medical Centre di Petaling Jaya, Selangor; Kuantan Medical Centre di Kuantan, Pahang; Kuala Terengganu Specialist Hospital di Kuala Terengganu dan TDMC Hospital di Kuala Lumpur.

Sumber : BERNAMA

Jom kongsikan: