KUALA TERENGGANU, 7 Januari– Kerajaan Terengganu mengatur langkah untuk mengangkat pelancongan negeri dengan menawarkan pelbagai program menarik sepanjang tahun 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman menyasarkan untuk menggapai  kehadiran lima juta pelancong dengan mengetengah beberapa aspek kekuatan negeri.

“Program terdekat yang akan diadakan ialah pada bulan Februari ini iaitu aktiviti kayuhan TSG Shimano Fellowship Ride 2020.

“Selain itu, Terengganu juga akan mengadakan Perhimpunan Pendikir Muda 2020 yang mengetengahkan bakat-bakat baharu pewaris tradisi masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian keitika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sewaktu menghadiri Majlis Sambutan Sempena Tahun Melawat Malaysia anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) di Lapangan Sultan Mahmud (LTSM), baru-baru ini.

Turut hadir ialah timbalannya, Sulaiman Sulong; Pegawai Kanan MOTAC Wilayah Timur, Ahmad Zulfa Shafie dan Pengurus Malaysia Airport Berhad LTSM, Che Sulaiman Che Pa.

Sebagai program pertama di Negeri Terengganu bagi tahun 2020, kerajaan negeri menyampaikan sumbangan kepada pengunjung yang tiba dari penerbangan pertama ke Kuala Terengganu.

Sumbangan turut diagihkan kepada pemandu-pemandu teksi lapangan terbang simbolik memberi semangat untuk mereka lebih cemerlang pada masa akan datang.

Oleh : Mohd Irsyadi Abu Bakar | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: