KEMAMAN, 6 Februari – Kerajaan negeri akan memperincikan perbincangan mengenai hala tuju berkait projek silika di negeri Terengganu ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk dibuat pertimbangan selanjutnya.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, apa yang dibincangkan akan diperkemaskan dalam merangka langkah seterusnya yang boleh diambil untuk memperkasakan projek Lembah Silika Terengganu.

“Pebincangan hala tuju ini menjelaskan bagaimana negeri boleh mengambil manfaat semaksima mungkin dalam urusan silika dan mendatangkan kebaikan kepada rakyat Terengganu.

“Kita dalam peringkat akhir untuk memperkemaskan projek ini supaya manfaat yang diperoleh Kerajaan Terengganu adalah maksima dan mengurangkan masalah yang timbul dari segi alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas sesi taklimat tersebut di Kijal, di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, proses yang dilaksanakan kilang pemprosesan pasir silika di Bari, Setiu setakat ini hanya berlangsung pada satu peringkat dan bukan sepenuhnya kepada penghasilan produk.

“Setakat ini, yang sedia ada dan telah beroperasi adalah di Setiu di mana mereka mengambil silika serta diproses, sempurnakan lalu dijual kepada pembeli-pembeli iaitu syarikat-syarikat yang berkait dengan penggunaan silika.

“Kita sedang berbincang dengan syarikat-syarikat yang boleh menghasilkan produk akhir supaya aktiviti itu tidak tertumpu kepada proses silika semata-mata, tetapi lebih daripada itu,” katanya.

Berdasarkan rekod, projek silika yang dibangunkan Kumpulan Terengganu Silica Consortium Sdn. Bhd. (TSC) sejak 2017 itu mencatatkan pengeluaran bahan galian yang telah mencecah 500,000 tan metrik sehingga kini.

Oleh : Mohd Irsyadi Abu Bakar | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: