KUALA TERENGGANU, 17 Jun – Kerajaan negeri bersetuju melanjutkan tempoh program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) 2019 yang sepatutnya tamat pada 15 Mei 2020 yang lalu kepada tarikh baharu berakhir 31 Ogos 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia ditetapkan berikutan beberapa faktor terutama disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu.

Katanya, program LMTS dilanjutkan sehingga 31 Ogos 2020 bermula sekarang selepas terhenti seketika sepanjang tempoh fasa PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

“Atas beberapa sebab termasuk berlaku PKP, ia menyukarkan peserta menjalani ujian dan latihan mendapatkan lesen.

“Bagaimanapun alhamdulillah, dengan beberapa kelonggaran yang diberikan dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), peserta dibenarkan meneruskan program LMTS ini.

“Justeru saya menyeru agar peserta-peserta yang menerima surat tawaran mendapatkan lesen motosikal percuma ini dapat berbuat demikian secepat mungkin di Institut Memandu (IM) daerah masing-masing,” katanya pada satu sidang media di pejabatnya di Wisma Darul Iman hari ini.

Sehingga hari ini, beliau memaklumkan, jumlah peserta yang masih belum menyempurnakan program LMTS 2019 adalah seramai hampir 7,000 orang merangkumi semua daerah.

“Sebaik sahaja tamat tarikh pada Ogos ini, kita akan menutup penyertaan kepada peserta LMTS 2019 dan membuka penyertaan kepada peserta LMTS 2020 pula. Peluang tidak akan dibuka lagi selepas penyertaan ditutup.

“Ini kerana tempoh satu tahun lebih adalah peluang yang sangat lama diberikan kerajaan negeri kepada peserta-peserta.

“Kita mengharapkan agar mereka lebih serius mengambil peluang ini dan dapat mengikuti program sehingga berjaya,” tegasnya.

Dijangkakan seramai 15,000 orang peserta LMTS 2020 dari lapan daerah seluruh Terengganu akan menerima surat tawaran daripada Pejabat Daerah masing-masing seawal Julai ini. Program akan berlangsung selama setahun sehingga 31 Ogos 2021.

Untuk rekod, LMTS merupakan satu daripada 20 manifesto Kerajaan PAS yang dijanjikan untuk  rakyat negeri Terengganu.

Oleh : ‘Afini Yahya | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: