KUALA TERENGGANU, 10 Jun – Negeri Terengganu berjaya mencatatkan rekod baharu negeri melalui Prestasi Gred Purata Negeri (GPN) dan Pencapaian Lulus Semua Mata Pelajaran dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang diumumkan, hari ini.

Terengganu kekal mengungguli carta negeri terbaik SPM 2020 dengan pencapaian gred purata 4.55, mencatatkan peningkatan prestasi gred sebanyak 0.14, sekali gus merupakan rekod baharu negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang menerima keputusan peperiksaan SPM, hari ini.

Mendahului Gred Purata Sekolah (GPS) terbaik di Terengganu, Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut dan SM Imtiaz Kuala Terengganu di mana masing-masing mengungguli tempat pertama dan kedua.

Seterusnya SM Sains Sultan Mahmud di tempat ketiga, SM Sains Dungun di tempat keempat dan SM Imtiaz Kuala Berang di tempat kelima.

Ahmad Samsuri tidak lupa mengingatkan pelajar agar menghargai jasa semua pihak yang menyumbang kepada kejayaan mereka.

“Jangan lupa, tuturkan kata terima kasih kepada ibu ayah serta guru-guru yang telah banyak berkorban dan mendidik kalian.

“Syabas saya ucapkan kepada yang berjaya mencapai keputusan cemerlang. Kepada yang belum berjaya, teruskan melihat dan merebut peluang yang ada di hadapan.¬†Tahniah buat anak-anak pelajar SPM Tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menziarahi keluarga mangsa kebakaran rumah di Kampung Losong Haji Su di sini pagi tadi.

Dalam tumpuan sama, beliau turut menyifatkan pelajar SPM 2020 sebagai individu hebat memandangkan peperiksaan kali ini amat jauh berbeza cabarannya berbanding tahun-tahun sudah dalam situasi negara dan dunia bergelut dengan pandemik Covid-19.

“Pernah saya katakan dalam suatu majlis di sebuah sekolah, SPM merupakan satu tanda koma dan bukanlah satu titik noktah, perjalanan hidup anak-anak pelajar masih panjang, berjaya atau belum berjaya, yang paling utama adalah jangan sesekali berputus asa,” jelasnya.

Terdahulu, seramai 18,743 calon termasuk 899 calon persendirian mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2020 di 169 pusat peperiksaan seluruh Terengganu bermula 22 Februari hingga 25 Mac lalu.

Gred Purata Nasional (GPN) 4.80 yang dicatat bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 merupakan yang terbaik dalam tempoh lima tahun.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, ia merupakan pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun apabila GPN bagi SPM 2016 ialah 5.05, 217 (4.90), 2018 (4.89) dan 2019 (4.86).

Oleh : Nur ‘Afini Yahya | Sumber : TRDI

Jom kongsikan: