KUALA TERENGGANU : Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM1.6 juta untuk menaik taraf kelajuan internet di semua Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, berkata sebanyak 38 PINTAR di 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk sebuah van bergerak disediakan kerajaan untuk membantu masyarakat mendapat capaian internet.

Antara perkhidmatan kerajaan dan boleh dimanfaatkan masyarakat di semua PINTAR adalah perkhidmatan e-Kerajaan, e-Pembelajaran, Perdagangan Elektronik, pembayaran elektronik, sukan elektronik dan pintar pos.

“PINTAR bukannya inisiatif baru ditubuhkan kerajaan, sebaliknya kemudahan itu disediakan sejak tahun 2005,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja di Pusat Latihan PINTAR di Paya Keladi, di sini, hari ini.

Yang turut hadir adalah Setiausaha Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat (BPTM), Zuwislan Awang, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Korporat), Suhailawati Saigai dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Top IT Industries Sdn Bhd, Azwa Othman.

Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Alor Limbat menjelaskan, PINTAR ditutup sementara ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Bagaimanapun, PINTAR dibenarkan beroperasi semula berkuat kuasa serta merta, tetapi prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) tetap diutamakan bagi membantu kerajaan mengekang penularan wabak COVID-19.

Oleh : Baharom Bakar | Sumber : Berita Harian

Jom kongsikan: