KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk menggerakkan kerja-kerja awal dalam menubuhkan Kolej Universiti Quran Terengganu sebagai penerus kesinambungan sistem pengajian tinggi Islam di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, peruntukan dalam Bajet Terengganu 2020 lalu selaras dengan janji manifesto kerajaan yang ingin mewujudkan institut pengajian tinggi Islam milik kerajaan menggantikan Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA).
“Bajet ini untuk meningkatkan prasarana, menambah baik keperluan dan mencari tempat yang sesuai bagi wujudkan kampus lebih baik, ini dalam proses kerana kita sedang mencari tempat sesuai.

“Tempat yang ada sekarang begitu padat dan ia menjadi kekangan untuk kita kembangkan kolej ini apatah lagi kita ada pertanyaan serius dari negara Brunei dan Singapura yang berminat belajar di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian Majlis Perisytiharan Presiden dan Imaratul Ilmi Konvokesyen Ke-1 Kolej Al Quran Terengganu di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), di sini hari ini.

Pada majlis itu, Dr Ahmad Samsuri turut diisytiharkan sebagai Presiden KUQT dan seramai 591 pelajar diploma, sijil Kuliyyah al-Furqan dan sijil Seni Khat menerima skrol masing-masing dalam konvokesyen pertama kolej berkenaan.

Dalam ucapannya, Dr Ahmad Samsuri turut menyarankan KUQT mengambil langkah lebih agresif dalam membangunkan kurikulum baharu untuk memenuhi keperluan industri dan kerajaan negeri sekurang-kurangnya dalam tempoh 10 tahun akan datang khususnya dalam bidang islamik.

Langkah itu katanya, akan melengkapkan KUQT sebagai pusat kecemerlangan akademik yang unggul di rantau ini.

“Selain itu, ia juga akan berupaya memberi faedah dan manfaat kepada institusi-institusi yang lain di seluruh Malaysia seterusnya membina nama dan kedudukan yang lebih baik di peringkat antarabangsa,” katanya.

KQT merupakan institusi pengajian tinggi milik penuh kerajaan negeri di bawah kelolaan Syarikat Wawasan Wibawa Sdn Bhd.

Oleh : Rahayu Mustafa | Sumber : Sinar Harian

Jom kongsikan: