KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan melakukan pindaan Enakmen Penyu Terengganu 1951 (Pindaan 1987) bagi menghalang penjualan semua jenis telur penyu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim menegaskan, kerajaan dan Jabatan Perikanan sudah mengadakan bengkel dalam usaha melakukan pindaan enakmen bertujuan menghalang penjualan semua jenis telur penyu.

Tegasnya, berdasarkan enakmen penyu 1951 dan dipinda kali pertama pada 1987, hanya telur penyu belimbing yang dilarang untuk dijual.

“Pindaan enakmen itu dilakukan bertujuan menyekat penjualan semua jenis telur penyu termasuk melalui dalam talian dan penjualan secara terbuka di beberapa pasar utama,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada penduduk di pekan Jabi, hari ini.

Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi berkata demikian ketika diminta mengulas kaedah akan dilakukan kerajaan menangani kegiatan penjualan penyu melalui dalam talian dan secara terbuka di beberapa pasar utama di negeri ini.

Ketika mengulas mengapa hanya telur penyu belimbing dilarang untuk dijual, Dr Azman berkata, punca utama disebabkan pendaratan penyu belimbing semakin berkurangan.

“Sebelum larangan itu dikeluarkan kerajaan sebelum pindaan enakmen penyu dipinda pada 1987, tiada lagi pendaratan penyu belimbing direkodkan dalam tempoh tiga tahun berturut mulai 1983.

“Kita juga tidak menafikan, pendaratan penyu dari spesis lain seperti penyu agar, karah dan lipas juga menunjukkan penurunan,” katanya.

Oleh : Baharom Bakar | Sumber : Berita Harian

Jom kongsikan: