KUALA TERENGGANU, 8 Mac — Kerajaan Terengganu menyasarkan peningkatan jumlah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) kepada 300 premis dan produk sehingga akhir tahun ini berbanding 220 pemegang SPHM ketika ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Wan Hapandi Wan Nik berkata kerajaan negeri yakin sasaran itu akan berjaya dicapai hasil perancangan dan promosi yang akan dijalankan untuk membantu pengusaha produk dan pemilik perniagaan mendapatkan SPHM.

“Malah, Majlis Amanah Rakyat (Mara) juga turut menawarkan inisiatif khusus untuk pengusaha yang baru hendak memohon atau memperbaharui sijil mereka dengan bantuan geran sebanyak 90 peratus dari fi pensijilan halal itu ditanggung oleh Mara.

“Selain Mara, kami juga mempunyai rakan strategik yang berada dalam Urusetia Pembangunan Usahawan Terengganu (Peuter) yang akan membantu dan memberi peluang kepada pengusaha mendapatkan SPHM agar perniagaan produk dan perkhidmatan mereka lebih berdaya saing dan diyakini pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program seminar pemantapan eksklusif halal negeri Terengganu yang dihadiri 135 peserta di sini hari ini.

Turut hadir Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mat Azmi Arshad merangkap Pengerusi Panel Pengesahan Halal Malaysia negeri Terengganu. Pada majlis itu, seramai 14 pemegang SPHM turut menerima pensijilan masing-masing.

Wan Hapandi berkata SPHM adalah satu standard yang diiktiraf dunia yang menggabungkan dua aspek iaitu halal dari sudut syariah dan toyyiban dari perspektif teknikal.

“Dua aspek ini perlu berjalan seiring bagi melestarikan jaminan halalan toyyiban menerusi SPHM yang telah kami mulakan sejak tahun 1974.

“Kami tidak sekadar menitikberatkan permohonan SPHM di peringkat awal sahaja malah pemantauan  berterusan sentiasa dilakukan setelah memiliki SPHM untuk memastikan pemegang sijil itu sentiasa mematuhi piawaian dan syarat yang telah ditetapkan,” katanya.

Sumber : BERNAMA

Jom kongsikan: