KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri bersedia memberi pajakan sehingga 20 tahun kepada pihak yang berhasrat memajukan tanah terbiar di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata individu serta syarikat yang bercadang untuk mengusahakan tanah yang dikategorikan sebagai terbiar seluas kira-kira 7,862 hektar boleh mengemukakan permohonan.

Katanya, kerajaan negeri menubuhkan pasukan petugas khas untuk memulihkan tanah terbiar di seluruh negeri.

“Pasukan petugas itu akan melakukan tindakan bersepadu bagi memastikan aktiviti menguntungkan dilakukan di tanah terbiar.

“Antara tugasan pasukan itu adalah menyediakan pangkalan data tanah terbiar, mengenal pasti punca dan faktor, menyediakan ulasan teknikal, mengemukakan pelan tindakan bagi pemulihan termasuk aspek pembangunan, pemasaran, penyertaan pihak swasta dan petani tempatan,” katanya.

Beliau ditemui pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan negeri (DUN) Keempat Belas, di sini, hari ini.

Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi, menjelaskan setiap faktor yang menyumbang kepada kewujudan tanah terbiar akan dianalisa dan dibuat penyelesaian bagi menggerakkan pembangunan tanah terbiar agar dapat ditingkatkan keupayaan ekonomi negeri.

Katanya, kerajaan negeri melalui Belanjawan 2022 meluluskan peruntukan RM1 juta bagi melaksanakan pembangunan infrastruktur tanah terbiar.

“Bagi melaksanakan pembangunan infrastruktur dan penyediaan kawasan bagi pertanian moden terutama membabitkan siswazah kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM500,000,” katanya.

Dr Azman berkata, program Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) diperkenalkan kerajaan bagi membolehkan penduduk mengusahakan projek pertanian di tanah terbiar.

Oleh : Baharom Bakar | Sumber : Berita Harian

Jom kongsikan: