KUALA TERENGGANU, 3 Mei – Kerajaan negeri bersedia untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebagaimana saranan kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia amat bertepatan dengan hasrat pihaknya untuk menyelamatkan ekonomi rakyat dan negeri yang agak lesu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi tiga fasa sebelum ini.

“Keputusan ini dibuat selepas melihat kebajikan rakyat dan perkembangan terkini kes COVID-19 di Terengganu yang bertambah baik,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Tegas Ahmad Samsuri, semua pihak perlu mematuhi setiap syarat yang ditetapkan dan kerajaan negeri akan mengambil tindakan sewajarnya jika peraturan tersebut dilanggar. 

“Kita tidak akan teragak-agak untuk membuat perubahan pada PKPB supaya kembali lebih ketat sekiranya pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah di tahap rendah dan memberi kesan pada status kesihatan rakyat.

“Kerajaan negeri tetap memandang serius akan pelaksanaannya dan terus komited dengan apa sahaja langkah pencegahan, terutama pematuhan yang ketat SOP yang akan dinilai dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Pada 1 Mei yang lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan  pelaksanaan PKPB bermula esok bagi menghidupkan kembali ekonomi negara selepas rugi RM2.4 bilion sehari.

Untuk rekod, kelonggaran pergerakan yang diberikan di Malaysia adalah berbeza dengan negara lain.

Perbezaan ketara adalah pembukaan sempadan apabila melonggarkan sekatan, sebaliknya kawalan sempadan Malaysia tetap diperketatkan selain terus memantau wabak dalam masyarakat setiap hari dengan melihat lokaliti dan kumpulan sasar.

Oleh : Husaif Mamat | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: