Category :

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu menyatakan komitmen dan bersedia untuk mewajibkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengisytiharkan harta, sebagaimana cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, buat masa ini pihaknya masih menunggu maklumat lengkap daripada SPRM berhubung perkara itu agar ia diselaraskan mengikut negeri-negeri lain.

Menurutnya, buat masa ini belum ada sebarang keputusan akhir bagaimana cara pelaksanaannya di Terengganu.

“Secara umumnya, kita tak mempunyai sebarang masalah untuk membuat pengisytiharan harta dan sebagainya tapi daripada segi teknikal, kita perlu selesaikan dahulu. Kita akan beri kerjasama dengan apa jua inisiatif sebab ia ada dalam Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 (NACP).

“Ini menunjukkan komitmen kita dalam perkara-perkara berkaitan tanggungjawab di bawah kerajaan negeri, agensi-agensi dan ia termasuk penambahbaikan terutamanya daripada segi ISO dan sebagainya,” katanya pada Majlis Pelancaran Dasar Integriti Darul Iman (DIDI) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Sementara itu, Dr Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri amat prihatin dan serius dalam perkara melibatkan integriti dan memperuntukkan RM2 juta dalam Bajet 2019 bagi melaksanakan program latihan kakitangan kerajaan, termasuklah melibatkan kursus-kursus integriti.

“DIDI ini juga merupakan manifestasi kerajaan dalam membudayakan integriti sekali gus dapat meletakkan Terengganu sebagai negeri contoh terutamanya dalam soal ketelusan.

“Kerajaan Negeri Terengganu menyambut baik NACP, dan di Terengganu kita mempunyai dasar tambahan iaitu DIDI, walaupun fokus kedua-keduanya nampak berbeza namun sebenarnya ia adalah selari,” katanya.

Oleh : Farah Shazwani | Sumber : Sinar Harian

Jom kongsikan: