KUALA TERENGGANU, 23 Oktober– Kerajaan Terengganu memandang serius sebarang pelaburan dalam membangunkan pendidikan untuk anak-anak negeri.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Yahaya Ali berkata, kerajaan negeri juga berusaha meningkatkan bidang-bidang pengkhususuan yang memberi peluang kepada pelajar antaranya melalui tajaan biasiswa bagi mendapatkan sijil Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).

“Pendidikan adalah pelaburan yang perlu diberikan keutamaan kerana ia akan mendatangkan hasil dalam pembangunan modal insan anak negeri.

“Oleh itu, kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) juga memperkenalkan Skim Pelajar Cemerlang (SPC) supaya pelajar-pelajar kelahiran Terengganu berpeluang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya ketika berucap sewaktu Majlis Penyerahan Pendahuluan Diri Biasiswa SPC kepada tiga pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke Mesir di pejabat YT, di sini semalam.

Tiga pelajar terbabit iaitu Nurul Arifah Noor Aziam serta  Siti Umairah Zulkifli melanjutkan pembelajaran ke Universiti Iskandariah (Alexandria) manakala, Safwa Khadijah Kamal Rahaidi pula ke Universiti Al-Azhar masing-masing dalam bidang pergigian.

Dalam majlis berkenaan, mereka menerima pendahuluan biasiswa berjumlah RM 8,706 setiap seorang sebagai persediaan untuk berangkat ke Mesir pada 26 Oktober ini.

Turut hadir, Pengarah YT, Ishamudin Hashim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor serta pegawai-pegawai yayasan.

Menurut Ishamudin, jumlah keseluruhan biasiswa yang akan disampaikan YT kepada pelajar-pelajar berkenaan berjumlah RM 756, 234 sepanjang tempoh lima tahun pengajian.

Majlis penyerahan tersebut merupakan sebahagian program dalam Lawatan Kerja Yang Dipertua DUN ke jabatan-jabatan kerajaan dalam usaha menjalinkan hubungan dan mendapatkan maklumat secara langsung daripada pihak-pihak yang terlibat dalam pembangunan negeri dari pelbagai aspek.

Antara jabatan yang telah dilawati YDP Terengganu ialah Mahkamah Syariah Terengganu, Syarikat Air Terengganu (SATU), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia (TM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Oleh : Mohd Irsyadi Abu Bakar | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: