KUALA TERENGGANU, 14 Februari – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM1.14 bilion untuk pembangunan infrastruktur di negeri Terengganu bagi tahun 2020 selaras Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) bagi merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan negeri.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, selain daripada peruntukan tersebut, Kerajaan Pusat turut melihat keperluan peruntukan bagi keperluan mendesak untuk memulihkan hakisan pantai yang perlu diberi pertimbangan serius.

“Kerajaan negeri sudah bentang perkara ini dalam mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang  dipengerusikan Perdana Menteri pada November lalu, di mana sejumlah peruntukan diperlukan segera kerana hakisan semakin serius.

“Keadaan ini akan menyebabkan masalah keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya di sepanjang pantai serta menjejaskan sektor pelancongan negeri,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Lawatan Kerja Menteri Hal Ehwal Ekonomi ke Terengganu di Pasar Payang, hari ini.

Diiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Azmin meninjau beberapa projek pembangunan termasuk Kompleks Pasar Payang dan ‘Drawbridge’ yang memberi kesan ekonomi positif kepada Terengganu.

Dalam kunjungan itu, beliau turut menyatakan pihak kementerian sedang berbincang dan menjangkakan proses baik pulih hakisan pantai akan menelan belanja sekitar RM80 juta.

“Saya sedang teliti permohonan ini dan saya percaya selepas lawatan ini, kita dapat tengok sendiri keadaan hakisan yang berlaku.

“Kita cuba mulakan projek ini pada pertengahan tahun untuk elak musim tengkujuh hujung tahun. Walaupun projek ini ambil masa, sekurang-kurangnya kerja-kerja awal itu dapat dimulakan sebelum musim tengkujuh,” katanya.

Lawatan kerja sehari itu merupakan rutin Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bagi membantu pembangunan di peringkat daerah dan negeri.

Selain Terengganu, pihak kementerian turut mengenal pasti lima lagi negeri yang perlu diberi perhatian untuk kemajuan pembangunan melalui WKB iaitu Kelantan, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak.

Oleh : Mohd Irsyadi Abu Bakar | Sumber : Teganukita

Jom kongsikan: