KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Kerajaan negeri menubuhkan pasukan pemantau di peringkat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi memastikan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu mendapat manfaat secara menyeluruh.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr  Mamad Puteh berkata, beliau akan memastikan rakyat di negeri ini akan mendapat peluang pekerjaan daripada serendah-rendah jawatan iaitu sebagai buruh sehingga ke peringkat profesional.

“Pada masa yang sama mampu membuka peluang perniagaan baharu dan pertumbuhan bandar-bandar kecil di kawasan sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Katanya, kerajaan memandang serius perkara itu dengan turut mengadakan beberapa langkah lain

“Kita sudah mengadakan perbincangan dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) bagi memastikan pelbagai peluang yang bakal perolehi.

“Perbincangan turut dibuat antara tiga negeri iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan untuk menjadikan kita ini pasukan yang kuat bagi tujuan yang sama,” katanya.

Dr Mamad turut memberitahu, disebabkan peruntukan untuk membina jajaran projek ECRL itu dikecilkan daripada RM66 bilion kepada RM44 bilion, Stesen Bukit Besar berkemungkinan  dibatalkan dan dicadangkan dipindah ke Durian Guling.

“Oleh kerana stesen Pengkalan Berangan dekat dengan Durian Guling maka Stesen Pengkalan Berangan dipindahkan ke Bandar Permaisuri.

“Perbincangan dengan MRL sudah dibuat supaya ada kemudahan sistem pengangkutan canggih antara Bukit Besar dan Durian Guling,”katanya menjawab soalan tambahan ADUN Seberang Takir, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Oleh : Suriati Ali | Sumber : TRDI

Jom kongsikan: