Category :

KUALA TERENGGANU – Tatkala hubungan antara kaum di negara ini dilihat sedikit terjejas dengan pelbagai isu sejak kebelakangan ini, kerajaan negeri Terengganu mengambil pendekatan berbeza dengan menubuhkan pusat Tahfiz Mandarin atau Imtiaz Mandarin.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia adalah tanda komitmen kerajaan negeri dalam memupuk perpaduan nasional kerana bahasa adalah salah satu asas untuk memahami suatu kelompok lain.

Menurutnya, penubuhan pusat Tahfiz Mandarin itu diharap dapat memberikan pengetahuan kepada pelajar yang menghafaz al-Quran seterusnya untuk memahami bahasa dan kelompok yang lain dalam membina negara Malaysia.

“Terengganu hampir 97 peratus rakyatnya terdiri daripada orang Melayu dan beragama Islam, namun pada masa yang sama kita cuba memahami kelompok bangsa-bangsa lain yang menjadikan negara kita Malaysia ini satu negara yang unik.

“Sebab itu kita mengambil inisiatif untuk menubuhkan pusat tahfiz di bawah kendalian Yayasan Terengganu. Pengambilan pertama pelajar adalah seramai 50 orang, iaitu 25 pelajar lelaki dan 25 pelajar perempuan di Imtiaz Dungun pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Tahun 2019 peringkat negeri Terengganu di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Samsuri berkata, bagi pengajian di Imtiaz Mandarin, salah satu daripada mata pelajaran wajib adalah bahasa Mandarin di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Di Terengganu katanya, terdapat kira-kira 530 pelajar Melayu yang belajar bahasa Mandarin di sekolah-sekolah dan mereka diberikan ruang untuk memasuki pusat tahfiz dan mengambil SPM di sekolah tahfiz kerajaan sepenuhnya.

Sementara itu, mengulas mengenai desakan sesetengah pihak agar Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) agar diharamkan, beliau berkata, itu terpulang kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

“Diharamkan atau tidak, itu ROS akan buat keputusan berdasarkan maklumat dan siasatan daripada pihak berkuasa.

“Apa yang penting adalah semua pihak tidak seharusnya memainkan sentimen yang boleh menekan sesuatu pihak yang lain sehingga menimbulkan reaksi tindak balas,” katanya.

Oleh : Farah Shazwani | Sumber : Sinar Harian

Jom kongsikan: