Category :

TERENGGANU FC II (TFCII) mengekalkan rentak kemenangan keempat berturut-turut selepas berjaya menumpaskan pasukan jiran, Kelantan 2-1 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Satu gol pada setiap babak memastikan skuad kendalian Roshadi Wahab itu bangkit daripada ketinggalan sekali gus menjadikan The Red Warriors itu mangsa keempatnya musim ini.

TFCII yang menurunkan penyerang Harimau Malaya, Darren Lok gagal garang sebaliknya pemain pasukan Terengganu FC (TFC) itu terpaksa dikeluarkan pada minit ke-28 akibat kecederaan.

Jaringan pembukaan skuad lawan diperolehi menerusi Felix Odili pada minit ke-32 yang menanduk masuk selepas pemain pertahanan TFC II, gagal mengeluarkan lontaran ke dalam Afiq Azuan dari sebelah kanan pintu gol.

Bagaimanapun jaringan itu hanya bertahan selama seminit selepas penyerang berbisa TFC II, Jordan Mintah menyamakan kedudukan selepas menerima hantaran Bruno Suzuki di dalam kotak penalti.

Skuad pelawat cuba mengimbangi asakan menerusi percubaan kaki kiri Hakimi Abdullah pada minit ke-42 yang berjaya ditepis keluar penjaga gol, Suhaimi Husin untuk kedudukan kekal 1-1 sehingga rehat.

Bersambung babak kedua tuan rumah lebih banyak mendominasi permainan dan hasilnya pada minit ke-62 pemain tengah, Zuasyraf Zulkiefle meledak gol kemenangan pasukannya selepas penjaga gol lawan gagal mengeluarkan bola sepakan pemain itu.

Hasrat Kelantan untuk membawa pulang satu mata tidak kesampaian apabila sepakan leret Lazarus Kaimbi di depan pintu gol pada minit ke-74 mudah diselamatkan Suhaimi.

Kemenangan itu membolehkan skuad The Turtles mengumpul 12 mata selepas empat perlawanan.

Oleh : Malik Muhamad | Sumber : Harian Metro

Jom kongsikan: