Category :

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri tidak mengeluarkan arahan pembayaran cukai pintu bagi premis kediaman selepas keputusan pengecualian cukai taksiran dan menghapus kira cukai tertunggak untuk semua premis kediaman berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sehingga hari ini kerajaan Terengganu konsisten dengan keputusan penghapusan cukai pintu bagi premis kediaman yang diputuskan sebelum ini.

“Kita konsisten dengan keputusan sebelum ini dan tidak mengeluarkan arahan bagi pembayaran cukai pintu bagi premis kediaman.

“Bagaimanapun, kita kena pastikan juga apakah kategori premis itu, adakah ia berlesen atau melibatkan bayaran-bayaran tertunggak lain sama ada bayaran yang mereka perlu bayar itu bukan termasuk kategori cukai pintu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rungutan segelintir penduduk di Pangsapuri Ladang Tok Pelam di sini, yang menerima surat arahan supaya membayar cukai pintu berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Mengulas lanjut, katanya, beliau meminta individu terlibat tampil untuk memberikan maklumat lanjut bagi memudahkan tindakan dilakukan.

“Hal itu perlu jelas, kalau ada yang musykil, sila maklum pada kerajaan dan kita akan ambil tindakan selanjutnya,”

Terdahulu, Ahmad Samsuri menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada kakitangan awam peringkat negeri Terengganu 2019.

Majlis itu menyaksikan seramai 50 penerima anugerah itu menerima hadiah RM5,000, pakej mengerjakan haji atau umrah, sijil dan plak sebagai penghargaan daripada kerajaan negeri.

Oleh : Norhaspida Yatim | Sumber : Sinar Harian

Jom kongsikan: