MARANG, 19 April – Tiada kes positif COVID-19 melibatkan 71 pelancong asing yang tinggal di pulau-pulau di Terengganu sehingga hari ini sebagaimana dilapor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, ia melibatkan pelancong di Pulau Tenggol seramai dua orang, Pulau Perhentian, 33 dan Pulau Kapas, 36.
“Di Pulau Kapas, 36 pelancong asing termasuk empat kanak-kanak dari Jerman, Sepanyol, Itali, Belgium, Sweden dan Demark telah menjalani saringan kesihatan hari ini.
“Mereka disaring secara berkala oleh Pejabat Kesihatan Daerah Marang dan ini adalah saringan kali ketiga disini, manakala isu-isu keselamatan pula dipantau oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Marang (IPD),” katanya kepada media selepas saringan tersebut semalam.
Turut hadir adalah Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim, Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zain Mat Dris dan Pegawai Kesihatan Daerah Marang, Dr Tan Sin Yew.
Menurutnya lagi, dua orang pelancong asing telah dipindahkan ke pusat kuarantin Marang untuk pemerhatian lanjut tetapi setakat ini tiada keputusan berkaitan dengan wabak itu.
“Kerajaan negeri turut menyediakan alternatif untuk membantu mereka yang mahu pulang ke negara asal contohnya pergerakan dan pengurusan kenderaan dua pelancong Jerman ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Marang telah diuruskan.
“Kita tiada halangan untuk membenarkan mereka pulang tetapi mereka yang datang sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merasakan lebih selamat di sini,” ujarnya.
Ariffin turut memaklumkan, kesemua pelancong asing telah bersetuju untuk membayar sendiri kos sepanjang berada dan tinggal di pulau.
“Jabatan Pelancongan juga masih tidak menerima sebarang aduan serius berkaitan kebajikan dan keselamatan pelancong asing ini setakat ini.
“Namun, kita menjangkakan akan timbul isu berkaitan penyambungan penginapan di resort, tempoh sah visa, jadual penerbangan dan pergerakan mereka dari Terengganu ke destinasi pelepasan, itu kita sudah bersedia,” katanya.
Oleh : Aslam Wira | Sumber : Teganukita
Jom kongsikan: