KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Terengganu menggariskan tiga tumpuan utama bagi menangani isu kemiskinan di kalangan nelayan negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim menyatakan, kerajaan negeri menilai isu kemiskinan membelenggu sebahagian daripada 8,985 nelayan negeri itu iaitu nelayan pantai akibat kekurangan hasil tangkapan.

“Oleh itu, daripada tahun 2018 hingga tahun ini kita telah melabuhkan 51 tukun konkrit di seluruh perairan negeri melibatkan nilai RM1 juta untuk meningkatkan sumber perikanan.

“Kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM190,000 untuk melabuhkan 245 unjam dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia di seluruh daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Roslee Daud pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.

Jelasnya, langkah itu berhasil meningkatkan sumber perikanan serta menyumbang kepada pertumbuhan dalam sektor pertanian sebanyak enam peratus.

“Isu kemiskinan juga berkaitan dengan kediaman dan tempat tinggal yang mewujudkan kedaifan hidup.

“Tahun ini, 150 buah rumah bakal dibangunkan kerajaan negeri bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)  sebagai penempatan semula para nelayan Terengganu dengan kerjasama modal berjumlah RM34 juta iaitu sebanyak RM13 juta daripada kerajaan pusat dan bakinya RM21 juta dari negeri,” katanya.

Tambah ADUN Jabi itu, seramai 800 nelayan tempatan juga berdepan isu pemilikan lesen nelayan sampan.

“Ketiadaan lesen menyebabkan mereka tidak layak mendapatkan bantuan perikanan, elaun sara hidup, subsidi minyak dan pelbagai kemudahan lain.

“Jadi, kerajaan negeri telah menubuhkan  jawatankuasa khas dan pemutihan dibuat untuk memastikan mereka berdaftar. Kita dipuji Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dengan menjadi negeri tunggal menyelesaikan hal ini melalui jawatankuasa khas,” katanya.

Menurutnya, hasil inisiatif itu pihak kementerian juga bertindak mengumumkan pembukaan kembali lesen nelayan sampan.

Terdahulu, kerajaan negeri juga menyediakan pinjaman mudah melalui Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) untuk pembelian sampan dan enjin yang kini telah berhasil membantu lebih 30 nelayan pantai.

Oleh : Mohd Irsyadi Abu Bakar | Sumber : TRDI

Jom kongsikan: