Kenyataan Media
Menteri Besar Terengganu Darul Iman

‘Total Lockdown’ : Terengganu Lancar BERKAT 3.0

Kerajaan Negeri Terengganu menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Haji Muhyiddin Mohd Yassin berhubung dengan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+).

Program ini amat dinantikan oleh rakyat Malaysia termasuk rakyat Terengganu untuk mengurangkan beban golongan yang terjejas akibat penutupan beberapa sektor semasa ‘total lockdown’ yang bermula 1 Jun 2021.

Merasakan penguatkuasaan ‘total lockdown’ yang mungkin berlanjutan, Kerajaan Negeri Terengganu melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini memutuskan untuk melancarkan program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 3.0 (BERKAT 3.0) secara bersasar yang berjumlah RM200,000 bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan jumlah keseluruhan RM6,400,000 yang akan diagihkan secara dua fasa.

Kerajaan Negeri Terengganu juga bersetuju memberi penangguhan atas sewaan premis perniagaan milik Kerajaan Negeri, Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk bulan Jun dan Julai 2021. Ianya tertakluk kepada premis perniagaan yang terkesan akibat penutupan ekonomi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0, dan premis-premis dengan kadar sewa tidak melebihi kadar sewaan RM5,000 sebulan kecuali sewaan tapak menara telekomunikasi.

Peminjam Yayasan Terengganu yang berpendapatan bawah RM2,500 juga diberi pilihan untuk memohon moratorium selama 3 bulan.

Sebagai tambahan, sebulan gaji Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri akan dipotong dan dimasukkan ke dalam Tabung COVID-19 Terengganu. Penjawat awam juga turut bersama menyumbang melalui potongan elaun mereka.

Setiap usaha Kerajaan Negeri adalah sebagai nilai tambah untuk mengurangkan impak sosio-ekonomi rakyat yang terkesan ketika ini.

Saya juga menyeru agar semua rakyat Terengganu bersatu hati dalam tempoh yang kritikal ini, kerana setiap langkah dan pematuhan arahan dan SOP amatlah signifikan untuk mengatasi pandemik COVID-19 yang semakin serius. Pastikan mendaftar vaksin dalam Program Imunisasi Negara.

Akhirnya, jangan lupa jadikan doa dan munajat dalam rutin kita setiap hari. Sayangi nyawa keluarga anda dan hargailah petugas barisan hadapan yang masih belum berhenti berjuang sejak lebih setahun yang lalu.

“Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera”

Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar
Menteri Besar Terengganu
2 Jun 2021

Jom kongsikan: